AGENDANASIONAL

Miri terus rekod kualiti udara bahaya

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri, Sarawak terus merekodkan kualiti udara berbahaya, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Mengikut data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU 344 dicatatkan di stesen pengawasan udara yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Bacaan IPU yang direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri menunjukkan peningkatan kualiti udara kepada 297 (tahap sangat tidak sihat) berbanding 419 pada 5 pagi tadi.

Kualiti udara di Sri Aman pula mencatatkan bacaan IPU antara 101-200 pada tahap tidak sihat, sementara di Sibu pula mencatatkan peningkatan ke tahap sederhana dengan bacaan IPU antara 51-100, dari jam 4 pagi hingga 12 tengah hari.

Data keseluruhan menunjukkan keadaan semasa jerebu di seluruh Malaysia merekodkan 64 kawasan berada pada tahap sederhana, serta masing-masing satu kawasan berada pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

-BERNAMA


Pengarang :