Raja Shahreen Raja Othman (dua dari kiri) bersama Ir Izham Hashim dan Hee Loy Sian ketika lawatan ke pameran SMARTSEL Digital Network (SDN) Node1 di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 30 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Misi SMARTSEL tingkat capaian internet luar bandar

KUALA SELANGOR, 31 OGOS: Perkhidmatan keterhubungan ditawarkan SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) menerusi pelancaran rangkaian digital SMARTSEL (Node1) membuktikan syarikat berkenaan mampu memenuhi misi bagi memberikan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi kepada kawasan luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shahreen Raja Othman berkata, Node1 dilancarkan di Kuala Selangor turut membolehkan perkhidmatan WiFi Smart Selangor yang diberikan secara percuma mencapai kelajuan lebih tinggi.

Katanya, capaian itu membabitkan kawasan strategik terutamanya tarikan pelancongan di sini seperti di Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Sky Mirror, Kota Melawati, Pantai Remis dan sebagainya.

“Selain itu, Node1 ini juga mampu memberi perkhidmatan internet berkelajuan tinggi bagi pejabat kerajaan, perumahan dan kawasan perniagaan.

“Sektor ekonomi utama di sekitar Kuala Selangor turut menerima manfaat menerusi perkhidmatan ini,” katanya selepas majlis pelancaran Node1 di Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS), di sini.

Raja Shahreen Raja Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Hadir sama, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian.

Turut hadir, Pengarah Urusan SMARTSEL, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Raja Shahreen berkata, perkhidmatan keterhubungan itu dijangka akan dilaksanakan di kawasan lain khususnya Kuala Kubu Bahru dan Sabak Bernam.

“Kuala Selangor adalah permulaan dalam misi melebarkan capaian internet berkelajuan tinggi ini.

“SMARTSEL kini sedang berusaha untuk memberi perkhidmatan lebih menyeluruh kepada rakyat melalui beberapa lagi Node yang akan dibina dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Segala usaha sedang dilaksanakan SMARTSEL kini dalam menyediakan infrstruktur digital diharapkan akan menjadi ‘Game Changer’ bagi Selangor untuk menghadapi revolusi digital alaf ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, menerusi aspek infrastruktur digital untuk mencapai agenda Smart Selangor, kadar penembusan internet berkelajuan tinggi adalah pada kadar 60 peratus tahun ini dan akan mencapai 100 peratus pada 2025.


Pengarang :