BERITA UTAMAEKONOMI

Momentum ekonomi Malaysia terus berkembang

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Ekonomi Malaysia kekal berada pada aliran meningkat, dengan indeks ekonomi utama negara terus bergerak di landasan pemulihan, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Ia berkata, angka terbaru yang dicatatkan pada Mei 2019 sebahagian besarnya diheret turun oleh nilai jualan dalam sektor pembuatan seperti jangkaan.

“Sektor berorientasikan eksport dan yang menumpukan pada pembuatan dijangka mengalami kemerosotan akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dan pertikaian antara Jepun-Korea Selatan.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, unjuran untuk separuh kedua 2019 (2H19) adalah cerah, disokong oleh kadar faedah lebih rendah dalam ekonomi maju dan sedang pesat membangun, harga komoditi yang beransur-ansur meningkat dan permintaan kukuh dalam negara,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata indeks pengeluaran perindustrian (IPI) berkembang lebih tinggi daripada jangkaan.

“IPI Malaysia berkembang kukuh sebanyak empat peratus tahun ke tahun (yoy) pada Mei 2019, melebihi jangkaan pasaran sebanyak 3.5 peratus yoy,” katanya.

MIDF berkata, pertumbuhan itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan berterusan dalam output perlombongan dan pengembangan output pembuatan dan elektrik.

Output perlombongan meningkat dengan ketara sebanyak tiga peratus yoy, terpantas sejak Ogos 2017, tambahnya.

MIDF berkata, pasaran buruh negara kekal stabil apabila tenaga buruh berkembang 1.9 peratus pada Mei 2019 – kenaikan paling rendah dalam tempoh 18 bulan.

Begitu juga, pertumbuhan pekerjaan mencatatkan 1.8 peratus yoy, dengan pekerjaan bulanan yang ditambah dalam ekonomi adalah sebanyak 32,700.

“Sementara itu, jumlah pengangguran terus meningkat kepada lebih tiga peratus yoy, tertinggi sejak November 2016,” katanya.

“Bagaimanapun, pasaran buruh kekal mantap dengan ekonomi dijangka terus berkembang pada kadar stabil pada 2019,” katanya.

MIDF berkata, pasaran pekerjaan yang stabil mencerminkan keadaan pekerjaan penuh, pembangunan ekonomi Malaysia yang sihat dan memberikan sokongan kukuh kepada permintaan domestik.

Sementara itu, kadar faedah dana Rizab Persekutuan AS (Fed) telah dikurangkan sebanyak 25 mata asas.

“Fed mengurangkan kadar dasar utama kepada 2.00-2.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu lepas.

“Bank pusat itu berpandangan ekonomi AS berkembang pada kadar sederhana, sementara ketidakpastian global kekal menjadi risiko utama kepada aliran menurun. Pengurangan kadar faedah dijangka memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi di AS, terutamanya perbelanjaan isi rumah dan pelaburan perniagaan,” katanya.

Di samping itu, ia mungkin mengimbangi ketidakpastian disebabkan ketegangan perdagangan global. – BERNAMA


Pengarang :