PBTSELANGOR

MPAJ lelong 18 barangan elektronik esok

AMPANG, 29 OGOS: Sebanyak 18 jenis barangan elektronik daripada harta sitaan cukai taksiran akan dilelong Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), esok.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya memaklumkan, lelongan awam di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu diadakan di Perkarangan Lobi Aras 4, Menara MPAJ, di sini, bermula 11 pagi.

“Antara barangan yang disita adalah televisyen model (Samsung, Panasonic, Hisence, Sharp dan LG), Alat Drill Makute, peti sejuk dua pintu (Toshiba dan Sharp) termasuk sebuah peti sejuk mini.

“Barangan lain turut dilelong seperti pemain video (WII dan Remote), Induction Cooker, mesin basuh model (Samsung dan LG), ketuhar gelombang mikro Daewood, pembersih udara Sharp berserta sebuah komputer riba dengan pengecas.

“Kesemua barangan ini dijual pada harga serendah RM100 hingga RM500 dan perlu dibayar secara tunai kepada MPAJ yang turut dibantu pelelong berlesen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PBT itu berkata, kesemua barangan akan dijual dalam keadaan seperti sedia kala, malahan MPAJ mahupun pelelong tidak akan memberi jaminan ke atas barang berkenaan.

“Semua barang berkenaan perlu diambil segera selepas tamat penjualan dan menjadi hak serta tanggungjawab penuh pembeli.

“MPAJ atau pelelong akan menjual semula tanpa notis mana-mana barang, jika terdapat apa-apa kesilapan pada pembeli.

“Bagaimanapun, jika terjadi sesuatu pertelingkahan berkenaan sesuatu barang, barang itu akan dilelong semula selepas tamat pertelingkahan,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung lelongan awam, orang ramai boleh layari www.mpaj.gov.my atau Pelelong Berlesen, S Chandrasekaran daripada Tetuan C S Auctioneers di talian 03-42706905.


Pengarang :