EXCOSELANGOR

MPK, JAS diarah pantau ketat pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetatkan rondaan serta penguatkuasaan larangan pembakaran terbuka di kawasan Kampung Johan Setia.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, hal itu bagi mengelakkan keadaan jerebu yang lebih buruk berlaku di kawasan terbabit.

Katanya, lebih membimbangkan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia berada pada tahap tidak sihat sejak seminggu lalu.

“Seperti biasa, kita risau kerana kawasan terbabit sering berlaku pembakaran terbuka dan akan mengakibatkan jerebu berpanjangan.

“Oleh itu, bagi mengelakkan ia lebih buruk, larangan pembakaran terbuka akan diperketatkan dengan mengarahkan MPK dan JAS membuat pemantauan lebih ketat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Loy Sian berkata, masih terdapat petani dan pekebun yang berdegil melakukan pembakaran terbuka.

Berdasarkan peta taburan IPU jam 10 pagi tadi, Johan Setia, di sini terus mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 115.

Manakala, empat lagi kawasan di negeri ini mencatat bacaan IPU sederhana iaitu Klang (86), Banting (83) dan Shah Alam serta Petaling Jaya (77).

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan kualiti udara tidak sihat supaya mengurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Katanya, orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut, payung, dan topi jika berada di luar rumah.

“Kita juga menyarankan supaya penduduk menutup tingkap rumah bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah.

“Mereka juga perlu meminum air kosong lebih kerap bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera jika tidak sihat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan negara dijangka dilanda jerebu bermula awal bulan lalu ekoran kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Setakat pagi tadi, 65 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana, dua tidak sihat dan satu berbahaya.


Pengarang :