Anggota penguat kuasa MPK menampal notis kompaun di hadapan pintu masuk kilang ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kilang Plastik di Teluk Gong, Klang, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK lumpuhkan operasi kilang proses plastik haram

KLANG, 8 OGOS: Sebuah kilang memproses plastik haram dari luar negara di Teluk Gong yang masih beroperasi walaupun disita dua kali, akhirnya lumpuh apabila bekalan elektrik di premis itu dipotong serta-merta hari ini.

Timbalan Pengarah Pelesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohd Fharulisa Mohd Isa berkata, kilang yang dibuka sejak setahun lalu masih beroperasi walaupun dikompaun dan pernah disita antara Jun hingga Julai lalu.

Katanya, ketika operasi, anggota penguat kuasa MPK menemui ribuan plastik bungkusan makanan keluaran Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain.

“Pemilik premis didapati menukar modus operasi dengan melakukan kerja pemprosesan pada waktu malam.

“Gara-gara masih berdegil, MPK membuat serbuan ke kilang berkenaan bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan membuat pemotongan bekalan elektrik, sekali gus yakin ia akan melumpuhkan operasi mereka.

“Pemotongan bekalan air turut dilakukan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS),” katanya kepada media, di sini.

Operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu turut disertai Ahli Majlis Kawasan Zon 46B, M Puspavali dan Pengurus Penasihat Runcit Perniagaan TNB, Mohamad Izwan Zainal.

Ia turut mendapat kerjasama anggota Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.

Mohd Fharulisa berkata, MPK turut mengeluarkan tiga notis kepada pemilik ekoran tiada kebenaran merancang, tiada pelan pembangunan dan sijil layak menduduki serta gagal dari aspek kebersihan.

Pada masa sama, kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik kilang terbabit.

“Untuk makluman orang awam, kakitangan MPK sentiasa turun padang memantau operasi kilang memproses plastik sampah kitar semula di Klang,” katanya.


Pengarang :