EXCOSELANGOR

MPKj belanja RM930 ribu lupus sampah sebulan

KAJANG, 24 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membelanjakan kira-kira RM930,000 sebulan bagi kos pelupusan sampah sisa pepejal melibatkan Tapak Pelupusan Tanjung 12, Dengkil dan Tapak Pelupusan Misi Restu Sungai Lalang, Semenyih.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, sebanyak 20,000 tan sampah dihantar ke Tapak Pelupusan Tanjung 12 sementara sampah pukal yang dihantar ke Tapak Pelupusan Misi Restu ialah 7,000 tan sebulan.

Katanya, bagi menangani masalah sampah, sehingga kini MPKj membelanjakan RM31.3 juta bagi kerja Perkhidmatan Pembersihan Awam dan sebanyak RM30.2 bagi kerja Perkhidmatan Kutipan Sisa pepejal.

“Isu sampah adalah perkara serius kerana penjanaan sampah akan meningkatkan lagi kos di tapak pelupusan. Oleh itu kesedaran penduduk amat penting untuk menangani sisa dengan lebih berkesan iaitu melalui pengasingan sisa pepejal.

“Amalan mengasingkan sisa pepejal dari rumah ini membolehkan pengurangan sisa dihantar ke tapak pelupusan, ia seterusnya memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada,” katanya.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi & Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian diiringi Yang Dipertua Kajang, Dato’ Rosli Othman dan Ahli Majlis Zon 10, Sharifah Norhayati Syed Omar meletakkan sisa tin dalam tong yang disediakan sebagai simbolik Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ dalam Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ Majlis Perbandaran Kajang di Taman Impian Setia Kajang, hari ini.

Hadir merasmikan ialah EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Turut sama Ahli Majlis MPP Zon 10 MPKj, Sharifah Norhayati Syed Omar, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPKj, Mohd Izuddin Ramli dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Setia Saujana Impian (PERKIS) Mohamad Norwafi Sahroni.

Pada program sama, sebanyak tiga tong kitar semula dengan kapasiti 660 liter diserahkan kepada PERKIS.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, beliau mengharapkan penduduk memanfaatkan penggunaan tong kitar semula berkenaan sekali gus menggalakkan pengasingan sisa dari rumah bagi melestarikan alam sekitar.

Hee Loy Sian bersama Dato’ Rosli Othman (kanan) mencuba kaedah penyediaan baja kompos sisa organik selepas merasmikan Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, ia juga salah satu cara mendidik masyarakat menggunakan tong kitar semula mengikut fungsi dan kegunaan yang telah ditetapkan.

“Secara mudah konsep ini mengajak semua penduduk supaya memaksimumkan kitar semula, meminimakan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan dan memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan.

“Secara tidak langsung ini akan meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan penduduk di taman perumahan ini,” katanya.


Pengarang :