PBTSELANGOR

MPSJ rangka penambahbaikan draf Rancangan Tempatan Subang Jaya

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sedang merangka draf Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (DRTSJ2035) bagi menggantikan Rancangan Tempatan MPSJ (Pengubahan 2) 2020 yang bakal tamat tempoh pada tahun hadapan.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, terdapat beberapa pembaharuan dan penambahbaikan bakal dimasukkan ke dalam DRTSJ2035 berbanding Rancangan Tempatan terdahulu.

Katanya, antara pembaharuan dan penambahbaikan yang bakal dilakukan ialah melakukan pelaporan yang lebih mesra pembaca dengan penggunaan grafik, rajah dan gambar.

“Pembaharuan lain melibatkan pembangunan berasaskan Transit Oriented Development (TOD) bagi pembangunan komersial sekitar stesen pengangkutan awam terpilih.

“Selain itu, MPSJ juga akan melakukan penukaran piawaian perancangan densiti (kepadapatan) kepada pemakaian Nisbah Plot bagi pembangunan perumahan yang bersesuaian berikutan kita menjangkakan penambahan penduduk seramai 500,000 pada 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Noraini berkata, DRTSJ2035 itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (JPN) bagi tujuan kelulusan dan pewartaan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

“MPSJ akan memohon kelulusan Pihak Berkuasa Negeri bagi semua Jilid Draf Rancangan Tempatan tetapi hanya mewartakan Jilid 3: Kawalan Pembangunan manakala Jilid 1,2 dan 4 sekiranya terdapat pengubahan perlu mendapatkan kelulusan Majlis, JPN dan Pihak Berkuasa Negeri sahaja serta tidak perlu diwarta.

“Jilid 3 – Kawalan Pembangunan, DRTSJ2035 ini perlu diwartakan berikutan jilid itu mengandungi pelan zon guna tanah keseluruhan mengikut Blok Perancangan beserta Jadual Kelas Kegunaan Tanah,” katanya.

Selain Jilid 3, DRTSJ2035 itu mengandungi empat jilid iaitu Jilid 1 – Penyataan Bertulis dan Peta Cadangan; Jilid 2 – Strategi dan Tindakan Pembangunan serta Jilid 4 – Garis Panduan Pembangunan.


Pengarang :