PBTSELANGOR

MPSJ roboh premis niaga warga asing

SERDANG, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak merobohkan premis perniagaan haram yang disewa kepada warga asing sejak dua tahun lalu, di Serdang Jaya, pagi tadi.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Bangunan MPSJ, Mohd Safiee Junun berkata, premis setinggi dua tingkat milik warga tempatan itu digunakan untuk menjalankan perniagaan kedai makan

Katanya, MPSJ sudah mengeluarkan notis pada 2 Julai mengikut Seksyen 72, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), namun tidak diendahkan.

“Operasi hari ini terpaksa dilaksanakan ekoran keegganan pemilik premis mematuhi Notis Mengosong dan Meruntuhkan Bangunan seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

“MPSJ mengambil tindakan tegas memandangkan premis binaan haram ini diduduki warga asing dan lebih serius kerana mereka menjalankan perniagaan,” katanya ketika Operasi Bersepadu Peruntuhan Bangunan Tanpa Izin di kawasan Serdang Jaya, Seri Kembangan, hari ini.

Mohd Safiee berkata, pada operasi sama, empat premis lain termasuk kedai runcit dan kedai makan turut dirobohkan penguat kuasa MPSJ.

Katanya, operasi itu membabitkan 87 anggota MPSJ dari Jabatan Bangunan, Perancang Bandar, Kejuruteraan, Penguatkuasa, Pengurusan Alam Sekitar, Kesihatan dan Pelesenan.

“Turut sama ialah 48 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor,” katanya.

Sementara itu pemilik bangunan yang hanya ingin dikenali sebagai Razak memberitahu, dia kerugian hampir RM20,000 akibat operasi berkenaan.

“Memang saya sedih, tetapi hendak buat macam mana, selepas ini saya mungkin tidak akan lagi berniaga di di sini,” katanya.


Pengarang :