Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Kali Ke-75 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kiri) dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. –fotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

MTN dipinda, urus harta pusaka lebih mudah

SHAH ALAM, 2 OGOS: Majlis Tanah Negara (MTN) meluluskan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 hari ini, sekali gus masalah pembahagian harta pusaka dapat diselesaikan dengan lebih mudah.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat ke-75 MTN di Putrajaya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, beberapa menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Menerusi pindaan itu, bidang kuasa nilaian pejabat pusaka ditingkatkan daripada RM2 juta kepada RM5 juta dan syarat keperluan memiliki harta tidak alih dihapuskan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam satu kenyataan berkata, permohonan pusaka tidak alih itu boleh difailkan di mana-mana pejabat pusaka di negeri tempat harta berkenaan berada.

Pindaan itu memudahkan orang ramai memfailkan permohonan dan masalah pembahagian harta pusaka dapat diselesaikan.

Sementara itu, kenyataan juga memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu lain termasuk skop pengurusan dan pengukuran tanah, perhutanan serta sumber mineral menerusi enam kertas kerja berasingan.

“MTN bersetuju dengan cadangan Konsep Perserahan dan Pendaftaran Secara Elektronik (OPR) sepenuhnya.

“Kelulusan dasar ini akan membolehkan semua urusan penyerahan dan pendaftaran hak milik pada masa depan dibuat di kaunter pejabat tanah serta secara dalam talian,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kerajaan bersetuju mewujudkan insurans dalam urusan pendaftaran tanah bagi mengelak berlaku kes penipuan dalam urusan pendaftaran hak milik.

Cadangan pewujudan konsep dana insurans bagi transaksi tanah itu dibuat ekoran banyak kes membabitkan penipuan dan pemalsuan hak milik.

“Konsep dana insurans ini akan dikaji, supaya kerugian kepada pemilik yang terbabit boleh dielak,” katanya.

MTN juga meluluskan cadangan pindaan Kanun Tanah Negara Bagi Mengeluarkan Permit Bahan Batuan yang antara lain akan memberikan lebih kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk memberhentikan kerja pengeluaran bahan batuan yang merosakkan ekosistem alam sekitar.

“Ulasan jabatan teknikal akan dijadikan syarat mandatori, sebelum permit pengeluaran dikeluarkan. Ini boleh mengawal daripada kerosakan alam sekitar disebabkan operasi pengeluaran bahan batuan berlebihan,” katanya.

Turut dipersetujui adalah kerajaan negeri mengekalkan pewartaan Hutan Tadahan Air yang dibuat sebelum ini, iaitu sebanyak 323,929 hektar.

Ketika ini, tiga negeri belum menyelesaikan baki pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air iaitu Johor, Perak dan Pulau Pinang membabitkan kawasan yang belum diwartakan seluas 55,716 hektar.

Pewartaan kawasan hutan tadahan air di Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung, penting bagi menjaga sumber air dan hutan negara daripada diceroboh dan dijadikan kawasan pembangunan.


Pengarang :