AGENSISELANGOR

Mufti syukur permohonan SIS ditolak

SHAH ALAM, 28 OGOS: Jabatan Mufti Negeri Selangor bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Sisters In Islam (SIS), untuk mengisytiharkan Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, keputusan itu jelas mengiktiraf semua fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Kerajaan Negeri sah mengikat semua umat Islam dalam Negeri Selangor di bawah seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor mengajak semua umat Islam untuk mematuhi fatwa itu dan semua fatwa lain yang sudah diwartakan.

“Khususnya fatwa berkaitan dengan fahaman dan ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar menurut pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah, demi menjaga kemuliaan, kesucian dan kemurnian akidah Islamiah serta Syariat Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Tamyes berkata, pihaknya turut menyeru mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme untuk bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

“Jabatan ini juga mengajak semua umat Islam untuk istiqamah dalam menuntut ilmu Islam sebenar dari ulama yang berwibawa dan bertauliah agar tidak mudah terjebak dengan fahaman serta ajaran yang sesat juga menyeleweng,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh SIS serta pemohon bersama, Zainah Anwar dan Zaid Ibrahim untuk mengisytiharkan Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama diwartakan pada 17 Julai 2014 sebagai tidak sah dan berperlembagaan.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.


Pengarang :