AGENDANASIONAL

Musang King mampu ubah nasib pekebun

KENINGAU, 7 OGOS: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan akan melibatkan diri dalam penanaman durian varieti premium khususnya Musang King (D197) sebagai keutamaan bagi meningkatkan pendapatan ahlinya.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK, Nabawan Marutin Ansiung berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah bijak dalam usaha penerokaan meningkatkan sumber pendapatan baharu dalam bidang pertanian.

“Sasaran kita ialah untuk meneroka bidang tanaman yang mampu mengubah nasib ahli (pekebun dan peladang), selain melangkah ke pasaran yang lebih jauh dan bersifat global,” katanya di sini.

Menurut beliau, sudah sampai masanya warga pekebun dan peladang untuk bersifat global dalam bidang pertanian disebabkan pertanian buat masa ini masih di takuk lama dan tidak lagi relevan pada era ini.

Beliau yakin lebih 3,000 ahli PPK Nabawan akan dapat meraih pendapatan lumayan jika mereka melihat cadangan itu secara fokus dan positif.

“Ramai di luar sana yang telah berjaya sehingga ke tahap jutawan dengan durian ini (Musang King),” katanya dan menambah selain Musang King (D197) durian varieti Black Thorn (D200) turut mendapat perhatian pertubuhan itu untuk diperkenalkan kepada ahli-ahlinya.

Katanya, ahli PPK Nabawan perlu kreatif untuk menaik taraf sumber pendapatan dengan beralih tumpuan kepada tanaman komersil yang lebih menguntungkan.

-BERNAMA


Pengarang :