Pemandangan Sule Pagoda (kiri) dan Dewan Bandaraya Yangon (kanan) yang dirakamkan ketika hujan di Yangon, Myanmar, pada 18 Julai 2019. -Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Myanmar pelawa pelabur Malaysia manfaat industri asas tani

YANGON, 29 OGOS: Myanmar mempelawa Malaysia meneroka potensi peluang perniagaan di negara itu dalam pelbagai sektor khususnya industri asas tani, infrastruktur dan pembuatan.

Timbalan Ketua Pengarah Direktorat Pelaburan dan Pentadbiran Syarikat (DICA), Tin Aye Han berkata, memandangkan kebanyakan syarikat di Malaysia terlibat dalam sektor pembuatan di negara itu, beliau meminta syarikat-syarikat berkenaan untuk turut meneroka sektor lain.

“Bagi pelaburan, Malaysia berada pada kedudukan kelapan, namun kebanyakannya dalam sektor pembuatan,” katanya kepada Bernama News Channel selepas berucap pada jamuan malam (Peluang Pelaburan di Myanmar) bersempena Seminar ‘Malaysia-Myanmar Connect 2019’ (MYC 2019) di sini, hari ini.

Program tiga hari bermula 28 Ogos itu dianjurkan Dewan Perniagaan Malaysia-Myanmar dengan kerjasasama Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Delegasi MYC2019 dijadual melawat Zon Ekonomi Khas Thilawa, mengadakan sesi perkongsian ilmu dengan persatuan-persatuan di Myanmar, menghadiri taklimat berhubung sistem ekonomi negara, selain terlibat dalam sesi jaringan dengan syarikat tempatan.

Aye Han berkata, ketika ini Myanmar memberikan keutamaan kepada sektor asas tani dan pembuatan, manakala pembangunan infrastruktur disifatkan sebagai satu daripada sektor yang mempunyai masa depan cerah.

Sehubungan itu, beliau berkata, syarikat-syarikat Malaysia dipelawa meneroka sektor-sektor berkenaan.

Aye Han berkata Myanmar menawarkan pelbagai faedah kepada pelabur termasuk pelepasan cukai.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pelabur akan dilayan secara adil daripada kerajaan Myanmar dan menerima layanan sama seperti syarikat-syarikat tempatan.

“Pada masa ini kami berusaha memudahkan perniagaan dan mempunyai prosedur operasi standard yang lebih telus untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Aye Han berkata, buat masa ini tiada syarikat Malaysia yang menceburkan diri dalam industri asas tani di Myanmar.

Myanmar adalah satu daripada tiga ekonomi utama yang berkembang di ASEAN dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 6.6 peratus, manakala populasi seramai 54 juta penduduk turut menyumbang kepada pasaran lebih luas dan meningkat bagi barangan pengguna.

– BERNAMA


Pengarang :