AGENSISELANGOR

Naik taraf jalan: Kerajaan Negeri kumpul maklumat kurangkan masalah pengguna

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengumpul laporan projek bagi kerja-kerja menaik taraf jalan yang menghubungkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi mengurangkan ketidakselesaan penduduk di kawasan terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah pengumpulan laporan yang dilakukan setiap dua bulan sekali itu juga bagi membantu melancarkan kerja-kerja naik taraf jalan tersebut yang dilakukan di bawah projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Menurut beliau, projek berkenaan dikatakan mengundang ketidakselesaan kepada pengguna menyebabkan kerajaan negeri mengambil beberapa alternatif bagi mengurangkan kesan gangguan tersebut seperti menghentikan kerja naik taraf jalan ketika musim perayaan.

“Hampir setiap hari kita menerima aduan daripada pengguna sama. Bagaimanapun, hal itu tidak boleh dielakkan memandangkan projek naik taraf jalan tersebut perlu diteruskan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna pada masa akan datang.

“Rentetan itu, kita mengambil laporan projek setiap dua bulan sekali dengan meneliti dan cuba membantu mereka termasuk dalam isu-isu berkaitan pengambilan tanah bagi memastikan kelancaran projek,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi Penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana Kepada Dato’ Menteri Besar, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan SUK, di sini hari ini.

Kata Amirudin, kebanyakan aduan yang diterima melibatkan dakwaan keadaan jalan Kuala Selangor-Sabak Bernam yang teruk dan dikatakan berpunca daripada masalah penyelenggaraan.

Amirudin berkata, walaupun terdapat beberapa aspek dilihat menyusahkan pengguna namun tindakan mengambil laporan itu adalah wajar kerana ia membabitkan soal keselamatan.

“Jika dahulu mereka (pengguna) boleh melintas di depan rumah, tetapi mereka kini perlu berjalan jauh sehingga satu kilometer untuk melakukan pusingan-U bagi mengelakkan kemalangan.

“Kontraktor yang berada di lokasi sentiasa mengemaskini keberkesanan langkah keselamatan yang diambil dan ia membantu mengurangkan risiko berlaku kemalangan,” katanya.


Pengarang :