AGENDA NASIONAL

Najib dakwa belanja RM3.3 juta beli hadiah kepada isteri bekas PM Qatar

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau membelanjakan RM3.3 juta untuk tujuan memberi hadiah kepada isteri bekas Perdana Menteri Qatar, pada 2014.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain, 54, berkata demikian ketika disoal peguam Farhan Read pada hari ke-57 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sen Bhd berjumlah RM42 juta.

Farhan: Datuk Seri Najib ketika memberi keterangan kepada SPRM, beliau berkata pembelian barang-barang kemas di De Grisogono, Itali menggunakan kad kreditnya adalah untuk tujuan pemberian hadiah kepada pemimpin luar negara?

Rosli: Itu dakwaan dia (Najib).

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva, Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.

Farhan: Najib ada menerangkan kepada SPRM bahawa hadiah bernilai RM3.3 juta diberikan kepada pemimpin negara luar kerana Malaysia mempunyai hubungan rapat?

Rosli: Ya.

Farhan: Najib ada menyebutkan kepada kamu bahawa hadiah ini untuk diberikan kepada isteri bekas Perdana Menteri Qatar pada masa itu?

Rosli: Ya, sebegitu…. isteri bekas Perdana Menteri

Farhan: Adakah Najib menyatakan beliau menerima surat penghargaaan dari Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie?

Rosli: Saya tidak pernah melihat surat itu.

Farhan: Tetapi surat ini dialamatkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor?

“Datin Seri Rosmah pun tidak pernah membangkitkan surat bertarikh 15 Ogos 2014 ini ketika beliau memberi keterangannya,” kata saksi itu sambil meneliti surat itu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-47, Presiden Kanan AmBank yang bertanggungjawab bagi kelulusan kad dan pengurusan penipuan kredit kad, Yeoh Eng Leong, 58, mendedahkan dua kad kredit milik Najib digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta dalam masa satu hari, di De Grisogono, di Itali pada 8 Ogos 2014.

Yeoh berkata sejumlah RM456,360.51 telah dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum dan RM2,864,309.54 menggunakan kad kredit Master Platinum.

Kepada soalan berkaitan transaksi bank, Rosli bersetuju bahawa pada Disember 2014, terdapat kemasukan wang RM32 juta dari akaun SRC ke Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dan kemudian dipindahkan ke dalam akaun Najib.

Rosli juga bersetuju terdapat kemasukan RM10 juta dari akaun Gandingan Mentari ke IPSB dan kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun Najib.

Ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rosli berkata beliau tidak membuat perbandingan tandatangan bekas pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin yang tertera di “hard copy” dengan salinan yang dihantar melalui e-mel kepada bank kerana tidak ada dakwaan kepalsuan tandatangan daripada pihak bank mahupun pelanggan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

– BERNAMA


Pengarang :