AGENDANASIONAL

Najib terima bayaran khas RM1 juta selepas bersara

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima bayaran khas RM1 juta selepas bersara sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Akauntan Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, 47, dalam keterangannya berkata, pemberian khas itu dibuat pada Mei 2018.

Beliau berkata, pemberian khas itu dibayar sekali sahaja iaitu semasa Perdana Menteri bersara.

Katanya, Najib juga memperolehi gaji kasar sebulan RM58,605.15 dari April 2009 hingga Mei 2018 melalui akaun Bank Affin miliknya.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari pertama perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata RM58,605.15 itu adalah gaji untuk jawatan Perdana Menteri sahaja.

Terdahulu, saksi itu juga mengesahkan beliau diminta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyerahkan penyata gaji bulanan dan penyata pendapatan Najib dari tahun 2006 hingga Mei 2018.

“Sebagai ketua unit tuntutan dan saraan, saya bertanggungjawab memastikan bayaran gaji penjawat awam dan anggota pentadbiran di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya juga mempunyai akses ke atas penyata pendapatan tahunan dan penyata gaji Najib dari Januari 2006 hingga Mei 2018,” katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kabinet Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan antara Kerajaan, Datuk Dr Farizah Ahmad, 52, mengesahkan jawatan-jawatan yang pernah dipegang oleh Najib termasuk sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri dari 2006 hingga 2018.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :