AGENDANASIONAL

Najib terima elaun RM19,846.59 sebagai Ahli Parlimen, Ketua Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri itu telah menerima elaun berjumlah RM19,846.59 sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Dewan Rakyat bagi setiap bulan bermula Jan 2015 sehingga Mac 2018.

Pegawai Tadbir di Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen Malaysia, Farah Nurdiana Azhar, 42, berkata mulai 1 Jan 2015, elaun bulanan yang diterima Najib, selaku Ahli Parlimen Pekan telah dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM6,508.59 yang diterimanya sebelum tarikh berkenaan (1 Jan 2015).

“Mulai 1 Jan 2015, bekas Perdana Menteri itu memperoleh elaun berjumlah RM19,846.59 termasuk elaun sebagai Ketua Dewan Rakyat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari pertama perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Ahmad Akram: Secara amnya, berapakah kelayakan elaun seorang Ahli Parlimen?

Farah Nurdiana: Pada 1 Jan 2015, elaun bulanan Ahli Parlimen adalah sebanyak RM16,000 dan elaun-elaun lain yang diterima secara tetap setiap bulan keseluruhannya berjumlah RM25,700.

Ahmad Akram: Sebelum 1 Jan 2015, berapa elaun yang diterima oleh Ahli Parlimen?

Farah Nurdiana: RM6,508.59.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata Najib juga telah menerima elaun sebagai Ketua Dewan Rakyat sebanyak RM3,846.59.

Farah Nurdiana berkata berdasarkan slip gaji bekas Perdana Menteri itu, jumlah pendapatan sebulan bagi tahun 2011 hingga 2014 adalah RM10,355.18.

“Jumlah itu merangkumi elaun Ahli Parlimen dan elaun Ketua Dewan Rakyat,” katanya.

Farah Nurdiana turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa bayaran bagi kedua-dua elaun itu dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank milik Najib bernombor 100040014008.

Kepada soalan Ahmad Akram adakah bayaran bagi kedua-dua elaun itu dimasukkan ke dalam akaun lain, Farah Nurdiana menjawab: “tidak ada”.

Farah Nurdiana turut memaklumkan bahawa kedua-dua elaun itu dibayar oleh Parlimen Malaysia.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :