Farah Marshita Abdul Patah (tiga, kanan) menerima sumbangan daripada pelbagai syarikat untuk disumbangkan kepada Utusan Malaysia dan Kosmo sebagai bantuan sumbangan di Balai Berita NSTP pada 23 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nasib kakitangan Utusan ‘jentik’ rasa prihatin hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Terkesan dengan nasib yang menimpa kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, pelbagai pihak hari ini tampil menghulur bantuan termasuk wang ringgit, barangan keperluan harian dan keperluan bayi bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata, beliau bersama hampir 400 ahli lain terpanggil untuk menjayakan Tabung Bantuan Utusan Malaysia dan Kosmo atas dasar hubungan ukhwah sesama manusia khususnya rakan sejawatan.

Bermula dari 10 pagi tadi bertempat di Balai Berita NSTP Bangsar di sini, penyumbang yang terdiri daripada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan di sekitar Lembah Klang tidak henti-henti tampil bagi menyampaikan bantuan sejurus kaunter dibuka.

Farah Marshita berkata, pihaknya menyasarkan sumbangan termasuk wang ringgit, keperluan harian dan keperluan bayi untuk disalurkan kepada kakitangan Utusan yang akan diserahkan kepada Setiausaha NUJ Cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar petang ini.

“Walaupun kami berlainan syarikat, namun kita adalah saudara. Memang dimaklumkan bahawa Utusan meneruskan operasi dan kakitangan menerima gaji pendahuluan, secara peribadi bagi saya ia tidak cukup untuk menampung hidup di bandar besar.

“NUJ NSTP mahu semua kakitangan Utusan mendapat sumbangan yang diberi hari ini secara sama rata. Saya harap inisiatif ini tidak terhenti hari ini sahaja, malah sesiapa sahaja boleh melakukan sumbangan melalui transaksi perbankan dalam talian,” katanya ketika ditemui ketika program Tabung Bantuan Utusan Malaysia dan Kosmo.

Antara badan korporat dan NGO yang tampil memberi sumbangan adalah Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Miraclegacy, Kumpulan Ramly dan Kumpulan Media Sarawak.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Wong Yun Fatt yang mendapat tahu mengenai program itu daripada rakan yang bertugas di NSTP menyifatkan sumbangan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Rasa tidak sedap hati kalau kita dengar ada orang dalam kesusahan tetapi kita tidak tolong. Kami peka dan prihatin dengan nasib mereka. Malah kami juga tolong orang luar seperti bina masjid di Lombok, Indonesia,” katanya.

Penolong Pengurus Pemasaran Kumpulan Ramly, Eimran Othman berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan sumbangan sebagai menghargai jasa dan sumbangan media kepada syarikat pengeluar makanan halal itu.

Menurutnya, selama beroperasi hampir 40 tahun di negara ini, pihak media bukan sahaja menulis berita mengenai syarikat malah menyampaikan maklumat serta penjelasan mengenai sebarang isu yang dihadapi.

“Sumbangan kewangan ini adalah inisiatif Kumpulan Ramly kepada Utusan yang pernah membantu kami memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu yang pernah melanda kami sebelum ini dan pada masa sama membersihkan nama dan imej Kumpulan Ramly,” katanya.

Amy Mohd Isa, 32, dari Kajang yang hadir menyerahkan sumbangan keperluan bayi bersama suaminya berkata walaupun tidak mempunyai rakan dalam kalangan petugas media, namun ia menjadi tanggungjawab sekiranya mendapat tahu ada pihak memerlukan bantuan.

“Saya dan suami ada kongsi maklumat mengenai program sumbangan ini di Facebook malah ada juga rakan yang kirim sumbangan mereka untuk kami bawa ke sini,” katanya.

Baru-baru ini tersebar desas-desus bahawa Utusan yang ditubuhkan pada 1939 dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi ekoran masalah pembayaran gaji kepada kira-kira 800 pekerja yang dilaporkan tertunggak sejak tiga bulan lepas.

Namun, pihak pengurusan syarikat penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia yang berusia 80 tahun itu mengumumkan tidak akan menutup operasi syarikat tersebut dengan membayar gaji pendahuluan dan mengambil langkah menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah bermula hari ini sebagai tambahan pulangan kepada syarikat.

Bagi mereka yang mahu menyumbang, pusat sumbangan itu dibuka sehingga 4 petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :