AGENDANASIONAL

NFCP penekanan seimbang internet antar penduduk bandar, luar bandar

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion telah dipersetujui Jemaah Menteri dengan ia memberi penekanan seimbang bagi akses internet di antara penduduk bandar dan luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, infrastruktur digital yang baharu ini akan turut memberi faedah kepada golongan yang kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital seperti golongan petani, nelayan dan Orang Asli.

“Pihak kerajaan melihat NFCP sebagai satu projek infrastruktur yang penting dan juga sebagai satu usaha strategik untuk meningkatkan daya saing negara dan rakyat Malaysia dalam era digital ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelan lima tahun (2019–2023) NFCP yang diterajui kementerian itu antara lain bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negara selain menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

Gobind berkata, menerusi pelaksanaan pelan itu, antara faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat termasuklah perkhidmatan pendidikan secara digital, e-kesihatan dan e-sports. Manakala golongan peniaga pula akan dapat menikmati faedah menerusi e-dagang yang diharapkan akan dapat menembusi pasaran baharu termasuk ke luar negara.

“Secara keseluruhannya, kerajaan berharap bahawa melalui NFCP, taraf kehidupan rakyat akan meningkat dan model perniagaan baharu akan muncul yang akan mengakibatkan lebih peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kos RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP akan melibatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di beberapa kawasan sasaran yang dijangka boleh memberi suntikan positif kepada ekonomi negara secara langsung terutamanya kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor-kontraktor kecil dan pembekal peralatan.

Jumlah yang besar itu akan dibiayai melalui peruntukan Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan secara komersil oleh syarikat pemberi perkhidmatan.

“Kaedah pembiayaan melalui Kumpulan Wang PPS yang akan dipertimbangkan adalah sama ada dalam bentuk pembiayaan penuh, pembiayaan sepadan atau pembiayaan sebahagian kepada pihak-pihak yang layak,” katanya.

Jelas beliau, kaedah pembiayaan itu akan membantu mengurangkan modal perbelanjaan syarikat pemberi perkhidmatan dan penjimatan kos tersebut akan memanfaatkan pihak pengguna melalui penyediaan perkhidmatan mampu milik.

Satu Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh KKMM dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan juga akan ditubuhkan bagi menyelaras penyediaan infrastruktur digital di sekolah, balai polis, hospital dan perpustakaan.

– BERNAMA


Pengarang :