AGENDANASIONAL

Niaga hadapan emas ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, berlawanan dengan niaga hadapan emas Bursa Komoditi (Comex) Amerika Syarikat (AS) berikutan ketegangan perdagangan selepas kenyataan Presiden AS, Donald Trump mengenai perdagangan dengan China.

Trump berkata, hubungan AS dengan China adalah baik, bagaimanapun beliau belum bersedia untuk menandatangani perjanjian, selepas beberapa jam penasihat ekonomi terbaiknya membentangkan garis masa berpotensi untuk perbincangan substantif.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Leo Goh Boon Hao berkata, pasaran emas mungkin akan merosot dalam jangka masa pendek kerana pelabur barangkali memilih aset berisiko.

“Bagaimanapun, emas masih dalam kedudukan positif dalam jangka panjang susulan kebimbangan pertumbuhan global dan isu-isu perdagangan,” katanya.

Pada penutup, kontrak Ogos 2019 dan September 2019 naik enam mata masing-masing kepada RM200.30 dan RM200.70 segram, manakala Oktober 2019 dan November 2019 masing-masing meningkat 14 mata kepada RM202.10 dan RM200.20 segram.

Jumlah dagangan berjumlah empat lot bernilai RM80,359, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 117 kontrak berbanding 113 kontrak pada Jumaat.

Pada 5 petang, harga emas fizikal susut RM1.50 kepada RM194.96 segram.

– BERNAMA


Pengarang :