AGENSISELANGOR

NIQA Hijab Wash, Palm Fiber tambat hati RMS

SUBANG JAYA, 25 OGOS: NIQA ‘Hijab Wash’ dipilih antara lima syarikat yang berjaya mengikuti program ‘SAY ASPIRE’ tahun ini.

Pencuci yang dikhususkan untuk mencuci segala jenis tudung tanpa perlu menyental dan merosakkan fabrik itu menambat hati juri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada sesi pembentangan idea perniagaan program berkenaan.

Pengasasnya, Farila Kasim dan Fazlia Akma nyata teruja serta gembira apabila dipilih sebagai juara selepas sesi ‘pitching’ berkenaan.

“Kami sangat gembira dan terkejut selepas diumumkan terpilih mengikuti program ini.

“Pada mulanya kami langsung tidak menyangka akan ke peringkat lima teratas, namun ini adalah rezeki yang tidak disangka,” katanya yang kali pertama menyertai pertandingan itu.

Dua tahun bertapak di Malaysia, mereka menyasarkan produk itu ke pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia pada tahun ini.

Sementara itu, produk minuman fiber berasaskan batang sawit, berjaya menduduki tempat kedua untuk menyertai program berkenaan.

Pengarah Urusan Palm Fiber, Mohd Suhaidi Jaa’par bersyukur kerana dipilih juri dalam usaha meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita sasarkan produk ini akan ke China. Bagi saya, landasan disediakan Selangor Youth Community (SAY) ini sangat bagus untuk usahawan menyertainya.

“Ia bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keyakinan pengusaha atau peniaga, tetapi membawa produk tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Produk yang bermula sejak 2014 itu tercetus di Jepun apabila beliau diberitahu seorang rakan bahawa bahan terbuang itu boleh diproses untuk dijadikan makanan berkhasiat.

Pada mulanya, beliau tidak percaya, namun terdapat beberapa kajian dilakukan di negara matahari terbit itu, sekali gus menjentik idea untuk menjalankan kaji selidik di Malaysia.

Palm Fiber memasarkan produk minuman fiber berasaskan sawit, EG Fiber yang mampu membantu sistem pencernaan dan syarikat berkenaan juga adalah penerima geran program Sirim -Fraunhofer.

Tiga syarikat lain yang dipilih adalah Potonguler, ILUVQURAN dan Citarasa Milennium.

SAY ASPIRE program cetusan idea Raja Muda Selangor yang dianjurkan bagi membantu usahawan negeri ini meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.


Pengarang :