AGENDANASIONAL

NUTP: Khat terap nilai warisan dan identiti negara

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpandangan bahawa pengenalan seni khat bertujuan menerapkan nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara serta tidak sepatutnya dicetuskan sehingga mengundang kontroversi.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil dikenali murid tahun 1 pada 2011 sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan.

“Justeru adalah tidak wajar ia dijadikan sebagai isu sehingga mengundang kepada kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2015 pula seni tulisan berkenaan diperkenal dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk Sekolah Kebangsaan di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’.

“Tahun ini adalah tahun semakan KSSR Tahun 4, maka golongan profesional perlu melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat tidak membebankan murid.

“Kita mahu memupuk gaya penulisan indah menjelang 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi.

Bagaimanapun, kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan dalam perkara berkenaan hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

-BERNAMA


Pengarang :