AGENDAJENAYAH

Objek menyerupai bom mortar ditemukan di Segambut

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Satu objek yang menyerupai bom mortar lama ditemui di sebuah laman rumah di kawasan Kampung Segambut Bahagia, Segambut, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata polis menerima maklumat daripada pengadu pada 10 pagi.

Beliau berkata Unit Pemusnah Bom tiba di lokasi kejadian pada 11.40 pagi dan telah menganalisa serta mengangkat objek berkenaan untuk dibawa ke satu lokasi selamat yang lapang di kawasan berdekatan.

“Ia bertujuan untuk memusnahkan objek itu kerana kawasan penemuan objek berkenaan tidak selamat untuk prosedur pemusnahan.

“Jarak tempat memusnahkan objek dengan tempat kejadian (penemuan) lebih kurang 100 meter. Ini adalah bagi memastikan keselamatan penghuni serta harta benda di kawasan berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

Shanmugamoorthy berkata objek yang menyerupai bom mortar itu berjaya di musnahkan oleh Unit Pemusnah Bom.

-BERNAMA


Pengarang :