AGENDAJENAYAH

Op Blue Devil kesan anggota, pegawai polis ambil dadah

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan melancarkan operasi khas dikenali sebagai Op Blue Devil bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga PDRM.

Menerusi kenyataan yang dipaparkan di laman sosial Facebooknya, PDRM berkata, operasi yang bakal diadakan di seluruh negara itu akan menangkap mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati terlibat dengan najis dadah dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

“Ingat! Tiada kompromi dan tempat untuk sesiapa yang cuba menjatuh mahupun mencemarkan nama baik pasukan penuh keramat ini!,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kewaspadaan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini sambil berkata, jumlah kes telah meningkat dua kali ganda, dan ada juga anggota anggota polis didapati mengambil dadah.

Menurut Abdul Hamid, jika langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membendung gejala dadah, Malaysia boleh menjadi seperti Colombia.

Selain itu, beliau turut mendedahkan sejak Januari lepas kira-kira 30 anggota serta pegawai PDRM ditahan selepas didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

-BERNAMA


Pengarang :