Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Op Tapis: Polis tahan pengedar dadah Filipina

LAHAD DATU, 27 OGOS: Polis menahan seorang lelaki Filipina dipercayai pengedar dadah dalam serbuan Op Tapis di Kampung PPRT, Jalan Tengah Nipah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, lelaki berumur 40-an itu ditahan pada 4.30 petang ketika sedang menunggang motosikal di kawasan berkenaan.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri kepada suspek dan menunjukkan kad kuasa polis.

“Secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata, pemeriksaan awal menemukan satu sampul surat terletak di dalam poket seluar jean dipakai suspek.

“Di dalam sampul itu terdapat dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan seberat 52.70 gram bernilai RM7,905,” katanya.

Dalam pada itu, katanya suspek dan rampasan dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Menurut Nasri, ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methenamine.

-BERNAMA


Pengarang :