Beberapa anggota bomba dilihat melakukan kerja memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram sebelah Plaza Tol Sungai Long, Kajang
EXCOSELANGOR

Operasi padam kebakaran tapak pelupusan sampah makan masa

KAJANG, 1 OGOS : Operasi memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram dekat sebalah Plaza Tol Sungai Long di sini dijangka mengambil masa lima hingga tujuh hari lagi.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, ini kerana, pihak bomba mengalami kesukaran memadam keseluruhan kebakaran di kawasan itu disebabkan faktor muka buminya yang bercerun.

“Operasi pemadaman api di tanah berkeluasan 1.33 hektar itu masih giat dijalankan sehingga kini. Pihak bomba menghadapi kesukaran memadam api disebabkan kawasan tersebut bercerun dengan ketinggian 70 meter, jadi ia berbahaya kepada anggota.

“Sehubungan itu, dengan kekuatan 32 anggota bomba dan beberapa agensi berkaitan, kerja pemadaman itu dijangka akan selesai lima hingga tujuh hari lagi.,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan kerja-kerja memadam kebakaran tapak pelupusan sampah haram di situ yang turut dihadir EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Tambah Loy Sian, kebakaran itu juga telah menyebabkan jerebu di kawasan Kajang.

“Kita juga berharap adanya hujan bagi membantu mempercepatkan operasi ini yang menyebabkan jerebu di kawasan Kajang,” katanya.


Pengarang :