BERITA UTAMA

Operasi SAR PDRM diperluas jejaki remaja hilang

NILAI, 5 OGOS: Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang, meliputi kawasan Gunung Berembun, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hasan berkata, pencarian melalui udara yang dimulakan sejak pukul 5.40 petang tadi itu, turut meliputi persisiran Sungai Berembun.

“Selain pencarian di darat, kita juga menjalankan operasi pencarian dan pemerhatian dari udara. Pencarian dilakukan di kawasan Gunung Berembun dan kita tumpu juga di persisiran Sungai Berembun.

“Setakat ini belum ada sebarang petunjuk positif. Tinjauan dari udara akan disambung esok memandangkan cuaca semakin gelap dan sukar untuk membuat pemantauan,” katanya kepada Bernama selepas menyertai SAR melalui udara di sini, hari ini

Katanya, bagaimanapun operasi SAR yang diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman itu, diteruskan di bahagian darat.

Pencarian melalui udara itu turut disertai Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Semalam, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya, pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

-BERNAMA


Pengarang :