AGENDANASIONAL

PAKATAN Selangor tumpu Belanjawan 2020 dan RMK-12

SHAH ALAM, 8 OGOS: Mesyuarat Dwibulanan Kali Ketiga Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor hari ini menumpukan kepada program yang akan disusun dalam Belanjawan Negeri 2020 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Setiausaha PAKATAN Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya mengulangi tekad dan keazaman untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terulung menjelang 2025.

“Selain (itu), kita juga mengutamakan agenda memberdayakan rakyat supaya berkeupayaan mendepani segala cabaran mendatang terutama berkaitan pembangunan sosio-ekonomi negeri.

“Kami bertekad untuk meneruskan usaha menggarap dan melaksanakan polisi yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama pimpinan PAKATAN Selangor selepas mesyuarat berkenaan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.

Borhan berkata, keharmonian dan kestabilan penting untuk meneruskan agenda rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Justeru, amatlah mustahak kesentosaan, ketenteraman serta kestabilan negeri ini dipelihara demi aspirasi pembangunan ekonomi negeri juga kemaslahatan rakyat,” katanya.


Pengarang :