Foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN tidak menyimpang daripada landasan

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan itu tidak menyimpang daripada landasan.

“Itu hanya persepsi mereka di luar,” kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada PAKATAN telah menyimpang selepas Lim Kit Siang dilaporkan bertemu dengan beliau baru-baru ini, untuk menggubal naratif baharu untuk PAKATAN.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Dr Mahathir berkata, Kit Siang datang berjumpa dengannya untuk berbincang mengenai isu perkauman yang dibincangkan secara negatif.

“Kami berpendapat orang ramai membincangkan isu berbaur perkauman dengan perasaan marah dan itu tidak sihat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sentimen rakyat untuk Hari Kebangsaan tahun ini, Dr Mahathir berkata, sentimen itu berbeza sekarang berbanding tahun lalu.

“Pada masa itu (tahun lalu) rakyat berasa selesa dengan penyingkiran kerajaan terdahulu dan mereka tidak melihat siapa yang membuat apa-apa ucapan,” katanya.

Sekarang, beliau berkata rakyat mahu melihat keputusan yang mereka jangkakan dan ia tidak mudah dicapai.

Perdana Menteri berkata, banyak perkara yang PAKATAN janjikan sebelum ini dibuat tanpa maklumat yang tepat contohnya mengenai hutang kerajaan, ia tidak menyedari bahawa jumlahnya lebih daripada RM1 trilion.

Dr Mahathir berkata, kerajaan PAKATAN juga tidak dapat memberi bantuan RM450 kepada golongan bujang tidak seperti kerajaan terdahulu.

“Kami (PAKATAN) tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan secara percuma bagi mendapatkan sokongan. Kita tidak boleh melaksanakan perkara ini kerana kita tidak seperti itu, ” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :