BERITA UTAMA

Rogol: Exco Perak enggan bercuti

IPOH, 23 OGOS: Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, tetap mahu meneruskan tugas walaupun dinasihatkan supaya bercuti.

Yong berkata, beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak serta belum dijatuhkan hukuman.

“Saya tidak buat apa-apa. Saya masih lagi Exco Kerajaan Negeri dan saya akan berkhidmat untuk rakyat yang memberi mandat kepada saya.

“Mengapa saya perlu bercuti? Saya belum dijatuhkan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kesnya di sini.

Yong, 49, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Yong dinasihatkan bercuti daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan bagi menghormati proses undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :