Paul Yong Choo Kiong keluar dari mahkamah selepas pendakwaan terhadapnya atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol

IPOH, 23 OGOS: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Hakim, Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Yong didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, pada 7 Julai, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Yong diwakili peguam Farhan Sapian, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng; Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh serta Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Terdahulu, Yong yang berkemeja putih serta sut berwarna kelabu tiba di mahkamah pada pukul 8.57 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW.

Polis memperketatkan kawalan di sekitar mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sekumpulan penyokong Yong turut dilihat berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah sejak 8.30 pagi selain kira-kira 20 pengamal media yang menanti kehadiran Yong.

– BERNAMA


Pengarang :