AGENDANASIONAL

Peguam Najib mohon pendakwa cepat bekal dokumen, pernyataan saksi

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Pasukan pendakwaan dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy diminta mempercepatkan proses penyerahan dokumen dan penyediaan penyataan saksi kepada pihak pembelaan bagi memberi masa kepada peguam dan supaya kes berjalan seperti dijadualkan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan juga meminta pihak pendakwaan menyiapkan kesemua dokumen yang diperlukan pasukan pembelaan.

“Saya berharap pasukan pendakwaan dapat bekal semua dokumen, sebanyak mana yang boleh diberi supaya ia beri pembelaan banyak masa.

“Saya faham tidak semua boleh, tapi saya nak sebanyak mana yang boleh…Saya tidak mahu kes ini lambat,” katanya dan menetapkan 7 Oktober untuk pengurusan kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya masih dalam proses penyediaan senarai saksi dan penyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

“Pihak pendakwaan memohon satu tarikh pengurusan kes kerana terdapat beberapa dokumen berkaitan penyataan saksi yang masih belum diserahkan serta dimuktamadkan oleh pihak pendakwaan,” katanya semasa pengurusan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 Nov hingga 29 November 2019 dan 13 Januari hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib, 66, manakala Datuk N. Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda, 43.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :