PBTSELANGOR

Pejabat bergerak MBSA beroperasi di Aeon Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan beroperasi di kawasan tempat letak kereta Aeon Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu ini bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

MBSA dalam kenyataan memaklumkan, SAOW akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan jualan kupon parkir.

“SAOW merupakan platform yang disediakan oleh pihak MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak MBSA berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya.

SAOW merupakan komitmen dan inisiatif MBSA untuk menambahbaik sistem penyampaian (delivery system) melalui konsep turun padang.

Ia turut memudahkan orang ramai berurusan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu hadir ke Pejabat Utama di Wisma MBSA mahupun ke Pejabat Cawangan.


Pengarang :