AGENDASUKANKINI

Pemain dram cilik curi perhatian netizen, FAS

SHAH ALAM, 5 OGOS: Aksi pemain dram cilik dari Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) ketika perlawanan Selangor FA menentang Felda United di Stadium Shah Alam, baru-baru ini mencuri perhatian penyokong yang hadir.

Malah, aksi yang sempat dirakamkan dalam video berdurasi 30 saat itu turut mecuit hati netizen dan tular di media sosial.

Sehingga kini, video yang memaparkan aksi Mohamad Izzfiraf Mohd Asyraf, 5, sedang bermain dram mengiringi lagu Barisan Kita itu ditonton sebanyak 1,273 kali.

Video yang dimuat naik di akaun instagram Pegawai Perhubungan untuk Pasukan Pelawat, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Mohd Zailani Ramli itu turut menarik perhatian persatuan terbabit.

Mohd Zailani berkata, FAS melancarkan gerakan mencari pemain dram cilik yang berasal dari Taman Kampung Kuantan, Klang selepas menonton video itu melalui kiriman WhatsApp.

“FAS cuba mengesan pemain dram cilik ini sebagai penghargaan untuk memberi hadiah istimewa.

“Kami mendapat tahu dia bersama bapanya adalah anggota SSFC dan kami berjaya berhubung dengan mereka untuk diaturkan acara khas penyampaian cenderahati di Pusat Latihan FAS yang baru dinaik taraf,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Zailani berkata, selain hadiah istimewa daripada FAS, beberapa pihak turut menyatakan minat untuk memberi hadiah lain berupa wang tunai.


Pengarang :