AGENDANASIONAL

Pemandu Grab disamun 3 lelaki berparang

JOHOR BAHRU, 16 OGOS: Seorang pemandu Grab berhadapan detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang, dalam kejadian di kawasan parkir Persiaran Saujana, Jalan Masai Lama dekat Johor Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, pemandu lelaki berumur 25 tahun terbabit, sedang berehat di dalam keretanya sebelum didatangi tiga lelaki bertutup muka dan berparang, yang memberhentikan kereta mereka di sebelah keretanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Suprintendan Polis Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang risau dengan keselamatan dirinya, bertindak mengikut arahan ketiga-tiga suspek supaya menyerahkan dompetnya.

“Ketiga-tiga suspek melarikan dompet mangsa (pemandu grab) yang mengandungi pelbagai dokumen diri dan bank, wang tunai RM540 serta dua telefon bimbit.

“Namun, mangsa tidak dicederakan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa disamun tiga lelaki bertutup muka, dan bersenjatakan parang ketika sedang berehat di dalam kereta.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat berdasarkan maklumat yang diperolehi, dan rakaman CCTV berhampiran tempat kejadian.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.

Kes tersebut, katanya, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan samun berkawan menggunakan senjata di mana jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

– BERNAMA


Pengarang :