Loy Sian ketika ditemui pada sidang media selepas meninjau operasi pemadaman api di kawasan tapak pelupusan sampah haram di sebelah Plaza Tol Sungai Long, Kajang hari ini.
EXCOSELANGOR

Pemilik tanah tapak pelupusan sampah berdepan tindakan mahkamah

KAJANG, 1 OGOS : Pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram bersebelahan plaza tol Sungai Long yang mengakibatkan kebakaran berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan jumlah saman mencecah RM1 juta.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, tindakan mengikut undang-undang itu diambil ekoran sikap tidak bertanggungjawab pemilik tanah berkenaan yang membiarkan kawasan tersebut terus dijadikan tapak pelupusan sampah meskipun telah diberi amaran sebelum ini.

“Tapak pelupusan sampah ini sudah beroperasi sejak 18 bulan lalu. Pemilik tanah juga sudah dipanggil tetapi sering berdolak-dalik. Malah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) juga sudah menyita dan mengenakan kompaun kepada 18 lori yang keluar masuk membuang sampah haram.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu tegas menangani isu ini dan lapan pemilik tanah yang dikenalpasti itu akan dikenakan tindakan saman dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) (RM500,000), Pejabat Tanah dan Daerah (RM250,000) dan PBT (RM25,000),” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi pemadaman api di kawasan itu.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.


Pengarang :