AGENDANASIONAL

Pendakwaan bakal buktikan Najib cuba lindungi perlakuan jenayah

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membuktikan Datuk Seri Najib Razak dan Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya selepas skandal 1MDB terbongkar, pada awal Julai 2015.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib berkata, dokumen palsu dihasilkan kononnya sumbangan daripada Putera Arab Saudi.

“Antaranya adalah surat dan empat cek, setiap satu berjumlah US$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambi langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

“Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib.

Menjelaskan berhubung kes itu, Sri Ram berkata, wang dalam kes itu adalah daripada sebuah syarikat, 1Malaysia Development Berhad, lebih dikenali sebagai 1MDB yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority or TIA.

Beliau berkata, tertuduh memainkan peranan penting dalam pertukaran nama kepada 1MDB dan menyebabkan pindaan dibuat dalam artikel syarikat untuk meletakkan beliau sebagai kawalan tunggal berhubung perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat.

“Maksudnya, beliau adalah plenipotensiari (berkuasa mutlak). Tambahan lagi, beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat.

“Beliau menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melakukan transaksi tertentu yang tidak wajar dengan tergesa-gesa.

“Tujuan utama tertuduh adalah untuk kepuasan diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu,” katanya.

Sri Ram juga berkata ‘lakonan terperinci’ dilakukan dalam beberapa fasa membabitkan beberapa watak.

Katanya, tertuduh memainkan peranan penting yang bermatlamat untuk memperkayakan dirinya.

Beliau berkata, walaupun kes itu mempunyai empat fasa, kejadian berkenaan dengannya, dianggap sebagai sebahagian daripada cerita berturut-turut kerana rancangan yang dirancang oleh tertuduh untuk memperkayakan dirinya.

“Watak penting dalam ‘lakonan’ ini adalah seorang lelaki bernama Low Taek Jho atau Jho Low. Dia adalah pelarian keadilan. Dia terlibat dalam TIA dan kemudian 1MDB,” katanya.

Sri Ram berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan tertuduh melalui kata-kata dan kelakuannya jelas kepada pegawai 1MDB, lembaga syarikat itu dan lain-lain bahawa Jho Low adalah individu yang dipercayainya.

“Pada hakikatnya, Jho Low adalah imej yang mencerminkan tertuduh. Pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta yang menunjukkan Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai ‘satu’ pada setiap masa,” kata Sri Ram.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

-BERNAMA


Pengarang :