AGENDANASIONAL

Pendakwaan pertimbang pinda pertuduhan Musa Aman

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Pihak pendakwaan sedang mempertimbang untuk meminda pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar semasa sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Umar Saifuddin memberitahu pihaknya memerlukan lebih masa untuk meneliti kertas pertuduhan.

“Memandangkan kes ini baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, terdapat pindaan-pindaan yang akan dilakukan terhadap pertuduhan.

“Pendakwaan juga memohon tarikh untuk pengurusan kes agar dapat meneliti dan seterusnya melengkapkan dokumen sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya sambil menambah ini kerana terdapat bukti-bukti tambahan dari luar negara.

Umar Saifuddin berkata tertuduh juga akan mendapatkan rawatan di luar negara dan akan berlepas pada 7 Ogos serta kembali ke tanah air 7 Sept dan Hakim Sequerah menetapkan 27 Sept untuk pengurusan kes.

Peguam Francies Ng Aik Guan yang mewakili Musa memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dibenarkan untuk mendapatkan pasport sementara untuk melakukan rawatan di London.

Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah US$63.3 juta dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih US$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, yang berjumlah US$63.3 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

Semua pertuduhan terhadap Musa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Dia juga menghadapi 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih US$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima US$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama. -BERNAMA


Pengarang :