Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penerbangan pulang pertama jemaah haji Malaysia tiba Isnin ini

MAKKAH, 15 OGOS: Penerbangan pulang pertama jemaah haji Malaysia dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.50 petang waktu Malaysia, pada Isnin ini (19 Ogos), kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata, penerbangan itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini pada 1.10 pagi waktu tempatan atau 6.10 pagi waktu Malaysia.

Katanya, penerbangan balik terakhir jemaah haji Malaysia adalah 1 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia pada 12 September ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah.

“Penerbangan terakhir itu dijangka tiba di KLIA pada hari Jumaat, 13 September pada 3 pagi (waktu Malaysia),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Penerbangan pulang pertama itu akan membawa seramai 483 jemaah haji Malaysia dan sebanyak 69 penerbangan akan terbabit dalam operasi membawa pulang jemaah itu.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata, jemaah haji yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz membabitkan penerbangan antara 18 Julai hingga 5 Ogos, akan dibawa ke Madinah bermula Jumaat ini (23 Ogos) selepas solat Jumaat.

Beliau berkata, semua jemaah haji Malaysia selamat pulang ke Makkah dari Mina pada 10.50 pagi, semalam waktu tempatan atau 3.50 petang semalam waktu Malaysia setelah menyelesaikan ibadah melontar jamrah.

“Alhamdulillah jemaah haji telah selesaikan tunaikan tawaf dan sai’ haji. Bagi operasi haji untuk tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan musim haji tahun ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :