BUDAYARENCANA

Pengakhiran filem Bawangers

Oleh Shahkang

Aku mengerling cermin pandang belakang. Tempat duduk penumpang belakang telah aku sediakan kusyen lembut berbulu, bersama semburan wangian lavender. Kotak kertas A4, bantal strawberi Cameron Highland dan kerusi bayi telah aku pindahkan ke dalam but kereta.

Malam bukat. Sepi-nyanyi cengkerik yang mengapung adalah suatu keresahan buat warga syarikat – rakan-rakanku. Syif malam tamat jam satu pagi. Bermula jam empat petang. Tiada siapa pun peduli pada waktu mula. Waktu akhir lebih menggoncang dada. Bekerja bukan masalah. Jangka masa lapan jam itu normal. Masalah ada pada perjalanan pulang sesudah tamat kerja – sewaktu lelah sedang membelit tangkai leher dan bertakung dalam cepu kepala. Kata orang, makhluk halus lebih mudah bertenggek pada orang-orang yang sedang lelah.

Tetapi, ini bukan masalah bagiku. Aku sentiasa menanti kehadiran hantu-hantu bertuah yang sempat memuati kenderaanku. Malam ini aku telah janji untuk menceritakan pengakhiran sebuah cerita bertajuk Bawangers kepada para hantu. Cerita ini telah menjadi tular dalam kalangan komuniti hantu. Masing-masing tak sabar menanti kesudahannya.

Keretaku membelah angin malam. Setelah melepasi rumah orang kampung terakhir, maka tibalah di laluan yang dikatakan paling menyeramkan. Seorang sahabat menceritakan pernah ada rambut wanita terjurai dari bumbung keretanya. Seorang lagi mengatakan keretanya tiba-tiba menjadi perlahan, seolah-olah ditarik dari belakang. Seorang lagi ternampak rombongan pengebumian jenazah, walhal di situ tiada rumah orang kampung atau tapak perkuburan.

Aku mendengar kisah-kisah seram ini dengan penuh bernafsu.

Tiada satu pun kenderaan di hadapan dan belakang. Aku memperlahankan kereta, sekitar cuma 60 kilometer sejam. Aku hanya menanti mana-mana hantu yang berjaya tembus ke kereta aku pada malam ini. Kereta ini cuma muat empat ekor hantu. Pernah hantu-hantu ini mencadangkan agar aku membeli kereta tujuh tempat duduk supaya bilangan hantu yang dapat mengikuti cerita Bawangers akan lebih ramai.

Tiba-tiba, kedengaran dup-dup dap-dap di bahagian tempat duduk belakang. Keretaku bergegar sedikit, seperti melalui jalan tidak rata dan berlubang. Para hantu ini sedang berebut-rebut memuatkan tubuh dalam ruang keretaku. Dari cermin pandang belakang, bola mata merah sirap sedang membuntang. Bau busuk serupa marjerin luput tarikh mengapung-apung dalam ruang kereta. Ada juga dengus kasar serupa orang berdengkur.

“Cepat Tuan, ceritakan! Kami mahu jadi orang pertama mengetahui pengakhiran filem Bawangers. Kami mahu popular dan mempunyai ramai pengikut.”

Sabar tuan-tuan puan-puan, kataku sebelum berdehem.

“Ahli-ahli Bawangers – Ayen Man, Kepten Amekira dan konco-konco semuanya mampus. Fitnah dunia selama ini sebenarya bermula daripada mulut jahat mereka. Membawang sehingga tak ingat dunia, menunggang terbalik kehidupan orang lalu akhirnya mereka dihapuskan oleh si Tarnos. Dunia kini bebas manusia suka bawa mulut dan menghina orang.”

“Itu saja kesudahannya?”

“Ya!”

Sejurus kata terakhirku, hantu-hantu ini hilang, pulang ke komuniti mereka. Mereka mahu menjadi golongan pertama yang menceritakan pengakhiran filem Bawangers kepada komuniti hantu.

Terdengar sayup lolongan para hantu yang mengeloi komuniti hantu untuk mendengar pengkisahan daripadaku.

Keesokan hari, kenderaanku menempuh sepi malam di laluan sama. Aku masih menyediakan wangian dan ruang buat para hantu. Tentu masih ada yang mahu mendengar perkisahan akhir filem Bawangers daripada mulutku sendiri.

“Tuan, ceritakanlah cepat! Kami sengaja mengurung diri sejak semalam untuk mengelak terdengar spoiler. Kami mahu dengar sendiri daripada mulut Tuan.”

“Sabar, sabar. Begini pengakhirannya…”

Para hantu menjegil mata, memasang telinga – masing-masing berhenti berbicara.

“Para Bawangers akhirnya berjaya menewaskan si penfitnah utama iaitu Tarnos. Tarnos menfitnah adanya video lucah para pemimpin dunia, memfitnah pemimpin sogok duit – bermacam-macam lagilah kisah jahat. Ayen Man telah berjaya menusuk dada Tarnos dengan sebilah parang kontot.”

Para hantu menempik sorak, agaknya mereka pro kepada watak Bawangers.

Keesokannya kereta aku tidak lagi dikunjungi ramai hantu. Cuma seekor (seorang?) pocong menumpang. Itupun dia hanya ingin menumpang untuk ke bandar, mahu ziarah orang mati ujarnya.

“Kaum hantu di kawasan ini bergaduh besar! Mereka saling berbunuhan.”

Aku menyembunyi senyum dalam kemam lidah.

“Mengapa pula?”

“Setiap hantu mahu menegakkan kebenaran bahawa versi pengakhiran filem Bawangers mereka adalah yang benar.”

Aku membiarkan kata-kata si pocong berlalu.

“Sebagai manusia, Tuan tentu lebih tahu pengakhirannya.”

Aku menjungkit bahu. “Entahlah, saya belum menonton filem Bawangers. Saya fikir mereka menumpang kereta hantu yang menyerupai wajah saya. Saya sebenarnya bercuti sejak minggu lepas. Pulang ke kampung uruskan hal pertunangan saya. Hari ini baru mula bekerja semula.”

“Oh! Jadi, Tuan fikir ada hantu bertukar, menyamar seperti Tuan, memandu kemudian dengan jahat sengaja menabur salah faham ke dalam komuniti hantu?”

Aku mengangguk pantas. “Tak mustahil. Hantu zaman sekarang tidak lagi gemar mengusik manusia, terutamanya komuniti hantu di bandar. Mereka lebih gemar bermain muslihat, bergembira melihat porak-peranda berlaku hasil percaturan yang licik. “

“Tapi Tuan, mengapa ada pihak suka melihat perpecahan?”

“Hantu juga sukar difahami, Cong (kependekan nama pocong). Seperti kebanyakan manusia.”

Perbualan kami tamat di situ. Pocong itu telah selamat menziarah kematian di tengah bandar.

Semenjak itu, tiada lagi gangguan hantu di laluan tersebut. Berdasarkan info risikanku, komuniti hantu di situ telah berbunuhan sesama sendiri akibat bersengketa tentang pengakhiran filem Bawangers.

Rakan-rakan sekerjaku tidak lagi digugat gementar tika pulang bekerja lewat malam.

“Zack, kau suka cari laluan-laluan berhantu kan? Semalam aku jumpa pocong baring atas jalan! Dia macam nak bunuh diri.” Ujar teman sama kubikel di tempat kerja.

“Kenapa dia baring atas jalan? Baringlah di atas rumput” Seorang rakan sekerja wanita mencelah dari kubikel sebelah.

“Mungkin kematian lebih menyeronokkan buatnya, daripada terus hidup menjadi hantu.” Mendatar sahaja nadaku. Tiada niat untuk berseloroh.

“Sebut pasal laluan berhantu, kakak pun kena kacau tau! Tempatnya di jambatan dekat rumah kakak.”

“Hmm, jambatan mana ya kak? Oh yang itu! Saya jarang lalu di situ.” Teriakan gembira terpacul dari kerongkongku. Khalayak di situ memandangku aneh.

Malam itu aku kembali menyembur pewangi di tempat duduk belakang kereta. Di telefon bimbitku ada paparan laman web pawagam. Aku sedang mencari apakah filem-filem terbaru untuk aku ceritakan kepada para hantu.

Sejujurnya, aku tidak tahu apa-apa mengenai filem. <END>


Pengarang :