AGENSISELANGOR

Pengalaman MB beri inspirasi kepada remaja wanita

AMPANG, 17 OGOS: Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkongsi pengalaman dan pendapat pada program #SpeakToLead by Girl2Leader Malaysia banyak memberikan inspirasi kepada peserta yang hadir hari ini.

Presiden Girl2Leader, Nurainie Haziqah berkata, rata-rata remaja wanita berusia 16 sehingga 25 tahun yang hadir hari ini kurang diberi pendedahan dan peluang dalam dunia kepimpinan.

Katanya, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Amirudin kerana sudi meluangkan masa dalam memberikan inspirasi kepada remaja wanita ini.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari hadir sama bagi berkongsi pandangan semasa Program #SPEAKTOLEAD by Girl2LeaderMalaysia di Common Ground, Ampang pada 17 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Buat pertama kalinya Girl2Leader membawakan speaker dari golongan lelaki dengan menjemput Dato’ Menteri Besar memandangkan beliau antara pemimpin muda dan sekurang-kurangnya dapat memberikan inspirasi kepada kami.

“Apabila wujudnya seorang menteri muda ia sebagai peluang kepada remaja wanita khususnya untuk menjadi sebagai pembuat keputusan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas program #SpeakToLead by Girl2Leader Malaysia yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Common Ground Ampang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Nurainie berkata, kesemua ahli Girl2Leader akan menjadi penggerak komuniti serta pemimpin masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari hadir sama bagi berkongsi pandangan semasa Program #SPEAKTOLEAD by Girl2LeaderMalaysia di Common Ground, Ampang pada 17 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pelbagai aktiviti dirangka bagi memperkasa wanita muda dengan keyakinan dan pengetahuan bagi mendepani cabaran politik global dan tanah air.

“Saya berharap Girl2Leader akan menjadi aspirasi kepada wanita muda di negara ini dalam mewujudkan komuniti wanita berdaya saing, cekal dan dihormati,” katanya.

Girl2Leader, sebuah organisasi yang diwujudkan khas bagi melatih remaja wanita menjadi pelapis politik pada masa hadapan berikutan Malaysia masih ketinggalan apabila jumlah pemimpin politik wanita dilihat masih kekurangan dan kebelakang berbanding negara lain.


Pengarang :