Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penganggur dihukum gantung bunuh 3 saudara angkat

MELAKA, 16 OGOS: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan membunuh tiga saudara angkatnya, tiga tahun lepas.

Luqman Hadi Mustapa, 31, turut menghadapi dua lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan niat mendatangkan kematian terhadap dua beradik, dan bagi setiap kesalahan itu mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Luqman Hadi didakwa membunuh Muhammad Taufeq Hassan, 22, Mariah Baharim, 61, iaitu kakak kepada ibu angkatnya, dan Hassan A. Wahab, 70, iaitu suami Mariah di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim di sini antara pukul 5.50 pagi dan pukul 6.15 pagi, 25 Ogos 2016 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Tertuduh juga didakwa menyebabkan kecederaan dengan niat mendatangkan kematian terhadap Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, di alamat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan kecederaan maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati kesemua perbuatan tertuduh tidak konsisten dengan perbuatan orang yang tidak siuman selain tertuduh sekurang-kurangnya mengetahui apa yang dilakukan adalah salah.

“Nenek tertuduh tidak diapa-apakan, hanya menyerang Mariah. Ini menunjukkan tertuduh tunjuk belas kasihannya terhadap orang yang dia sayang. Selain itu, tertuduh membuat serangan ke atas mangsa lelaki terlebih dahulu iaitu Muhammad Taufeq dan Hassan sebelum menyerang Mariah serta Noor Haslinda Diyana dan Nur Aqedah Aeina.

“Satu anggapan boleh dibuat jika tertuduh menyerang Mariah dan dua beradik itu, yang semuanya perempuan tertuduh akan berhadapan dengan Muhammad Taufeq dan Hassan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, Fahmy Sulaiman dan Lim Kah Ee.

Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala pembelaan memanggil seorang saksi awam iaitu doktor psikiatri Dr Yeoh Chia Minn) setelah Luqman Hadi memilih untuk berdiam diri.

– BERNAMA


Pengarang :