AGENDANASIONAL

Penganjuran APEC 2020 letak Malaysia di tapak betul

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) oleh negara pada 2020 akan meletakkan Malaysia di jajaran yang betul sebagai sebuah negara perdagangan yang signifikan serta berpotensi meluaskan lagi segmen perniagaan Malaysia sehingga merentasi sempadan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sejak menjadi anggota pengasas APEC, blok tersebut telah banyak mengubah struktur, kawal selia, dasar dan corak keputusan Malaysia sehingga ia terbentuk menjadi seperti sekarang ini.

“Walaupun Malaysia juga menjadi anggota sidang kemuncak ekonomi, forum dan pertubuhan seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta perjanjian perdagangan bebas yang lain, APEC memainkan salah satu peranan yang paling berpengaruh ke atas Malaysia sehingga negara ini mula melaksanakan dasar liberalisasi dan mempunyai perdagangan serta pelaburan yang agak terbuka,” katanya kepada Bernama.

APEC yang terdiri daripada 21 negara, merupakan satu forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat di kalangan negara Asia Pasifik dan bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan, inklusif, kelestarian, inovatif dan jaminan pertumbuhan termasuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau.

Forum perdagangan global yang terkemuka itu akan menyediakan banyak peluang untuk rakyat Malaysia berkembang khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengambil bahagian dalam persediaan serta penganjuran acara itu.

Katanya, ini adalah sejajar dengan unsur-unsur teras dan matlamat penganjuran APEC 2020, iaitu ‘Perkongsian Kemakmuran’, ‘Hospitaliti Malaysia’ dan ‘Malaysia Boleh’.

“Akan ada tender, sesi rangkaian, pekerjaan dan peluang lain yang menanti rakyat Malaysia, yang berhasrat untuk mempamerkan kemahiran, kepakaran, teknologi, hospitaliti dan makanan kepada 20 ekonomi yang mewakili kira-kira 80 peratus daripada urus niaga kita dan 74 peratus pelaburan langsung asing (FDI) negara.

“Sekarang ini kita sedang berurusan dengan pelbagai pihak bagi mempromosikan produk terbaik Malaysia untuk APEC 2020 merangkumi hasil tani Malaysia seperti durian, tembikai wangi, belimbing dan lain-lain buah tempatan,” kata Lokman.

Selain itu, sekretariat APEC 2020 juga berharap untuk mengemukakan penceramah-penceramah dan usahawan terbaik dunia seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma untuk berkongsi pendapat mereka mengenai keusahawanan dan trend dalam teknologi serta ekonomi.

Lokman menambah, sebagai penganjur APEC 2020, Malaysia akan sentiasa berazam untuk menerajui perbincangan mengenai isu-isu yang dihadapi oleh rantau ini dan membentuk matlamat baharu bagi APEC, selepas pencapaian Matlamat Bogor, salah satu inisiatif utama APEC.

Matlamat Bogor yang diumumkan pada 1994 dibuat selepas pemimpin APEC bertemu di bandar Bogor Indonesia. Mereka mengambil langkah ‘matlamat jangka panjang untuk perdagangan serta pelaburan yang bebas dan terbuka di Asia Pasifik’. Mereka menetapkan tarikh akhir: ‘selewat-lewatnya pada 2020.’

Menurut Laporan Kemajuan Matlamat Bogor 2018, beberapa pencapaian telah terlaksana iaitu penurunan tarif, peningkatan perjanjian perdagangan bebas, akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan yang lebih baik termasuk pembaharuan kastam yang menjadikan perdagangan lebih mudah, murah dan pantas.

“Satu rangka kerja strategik akan diwujudkan dan kami berharap ia akan menjadi wawasan baharu bagi APEC, manakala pada masa yang sama menonjolkan isyarat bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menjadi lebih hebat lagi dan akan berdiri bersama-sama dengan negara-negara maju yang lain,” kata Lokman. – BERNAMA


Pengarang :