Amirudin Shari merasmikan flag-off acara Selangor Corporate Colour Run 2019 di Stadium Shah Alam, pada 17 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMASELANGOR

Penganjuran SCCR 2019 dipuji, rapat hubungan pemain industri

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji langkah Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menganjurkan Selangor Corporate Colour Run (SCCR) 2019 sebagai usaha merapatkan hubungan sesama pemain industri di negeri ini.

Amirudin berkata, pelaksanaan program berkenaan sebagai medium untuk pemain industri dan keluarga berkomunikasi antara satu sama lain.

Katanya, selain merapatkan hubungan acara berkenaan juga bagus kerana ia dapat mempromosi kempen gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat dan komuniti perindustrian di Selangor.

“Ini adalah tahun ketiga Invest Selangor menganjurkan program santai sebegini tetapi setiap tahun aktiviti berbeza apabila dua tahun lalu kita anjurkan berbasikal dalam kalangan pemain industri.

“Namun, biar pun julung kali larian ini dianjurkan kemeriahan jelas terasa apabila saya difahamkan seramai 2,100 peserta mengambil bahagian yang mewakili warga korporat, komuniti perindustrian dan masyarakat khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Flag-Off SCCR 2019 di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin Shari ditemubual media sempena Selangor Corporate Colour Run 2019 di Stadium Shah Alam pada17 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Pada masa sama, Amirudin turut menzahirkan terima kasih kepada lebih 50 penaja untuk menjayakan SCCR 2019 dan beliau optimis kerjasama sedemikian bakal berterusan pada masa akan datang.

“Saya optimis menerusi acara ini, ia dapat merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat serta syarikat korporat,” katanya.

Terdahulu, SCCR 2019 turut mendapat kerjasama Kelab Rekreasi Invest Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam dan disokong Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.

SCCR 2019 terbahagi kepada dua kategori iaitu 3 kilometer (km) membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif, pihak pengurusan tertinggi syarikat dan penaja manakala 5km (Larian Kompetetif) terbuka untuk orang awam.

Hadiah ditawarkan bagi kategori 5km Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita adalah RM350 (Tempat Pertama), RM250 (Tempat Kedua), RM150 (Tempat Ketiga), RM100 (tempat 4-10), RM80 (tempat 11-15), RM70 (tempat 16-20) dan RM60 untuk tempat 21 sehingga 25.

Difahamkan, acara itu juga sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat iaitu sebahagian dana terkumpul akan disumbangkan kepada badan kebajikan, Kiwanis Down Syndrome Foundation melalui kategori khas iaitu Larian Amal Korporat.

Larian Amal Korporat adalah bentuk penajaan terbuka kepada semua syarikat yang berminat dan sebahagian akan disalurkan ke badan kebajikan dipilih.

Kategori penajaan terbahagi kepada empat iaitu Platinum (RM30,000), Gold (RM20,000), Silver (RM10,000) dan Bronze (RM5,000).


Pengarang :