AGENDAJENAYAH

Peniaga rugi RM163,550 ditipu pegawai kesihatan palsu

BUKIT MERTAJAM, 19 OGOS: Seorang peniaga kehilangan RM163,550 dalam tempoh seminggu akibat ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya dia dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes jenayah, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin hari ini.

Katanya, peniaga lelaki berusia 60 tahun itu membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya ditipu selepas beberapa kali memasukkan wang ke dalam dua akaun bank yang diberikan sindiket itu antara 7 dan 14 Ogos lepas kononnya untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap polis.

“Ia bermula dengan mangsa menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur pada 7 Ogos lepas dan mengatakan peniaga itu telah membeli 20 biji pil tidur yang merupakan satu kesalahan,” katanya di sini.

Setelah itu panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang sarjan dari Bukit Aman yang mengatakan mangsa dikehendaki polis kerana terlibat dalam satu kes jenayah.

“Individu itu mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan dan dia akan ditahan polis sekiranya mangsa enggan memindahkan wang yang ada dalam akaun banknya ke dalam akaun-akaun yang dinyatakan mereka,” katanya.

Takut dengan ancaman itu, mangsa mula memasukkan sebanyak RM24,000 ke dalam akaun-akaun berkenaan sebelum membuat beberapa lagi pindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM163,550 sehingga 14 Ogos lepas.

“Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas individu yang mengaku sebagai sarjan polis itu gagal dihubungi dan semakan yang dibuat mendapati dirinya tidak dikehendaki polis seperti yang didakwa,” katanya.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Mohd Mustafa berkata, siasatan telah dimulakan mengkikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis sedang menjejaki para pemilik akaun yang digunakan sindiket itu.

– BERNAMA


Pengarang :