Mohd Azanuddin (empat dari kiri) dan Tun Masri Hj. Abu Bakar (tiga dari kanan) bersama penerima Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Fasiliti di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam pada 21 Ogos lalu. Foto SIRIM BERHAD
AGENDANASIONAL

Pensijilan ISO galak pengurusan fasiliti lebih strategik, taktikal

SHAH ALAM, 22 OGOS: SIRIM QAS International Sdn Bhd melancarkan Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Fasiliti berdasarkan standard ISO 41001:2018, di sini semalam.

Ia sebagai penanda aras menggalakkan pelaksanaan amalan secara berkesan pada tahap strategik, taktikal dan operasi terhadap anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Azanuddin Salleh.

Katanya, pelaksanaan piawaian dibangunkan International Organisation for Standardisation (ISO) itu diyakini dapat meningkatkan profesionalisme, khususnya dalam sektor Pengurusan Fasiliti (FM) di Malaysia.

Beliau berkata, standard berkenaan turut mengariskan keperluan asas untuk penafsiran dan pemahaman secara umum berkaitan pengurusan fasiliti yang diterima pakai secara global.

“Secara tidak langsung pelaksanaan standard ISO 41001 memberi impak dan faedah yang besar kepada sektor FM di Malaysia kerana standard ini menggariskan keperluan asas yang sama untuk dinilai dan ditafsir.

“Tambahan pula, servis FM adalah kos kedua tertinggi bagi kebanyakan organisasi dan ia salah satu sumbangan terpenting organisasi selain dapat menjamin kesejahteraan pekerja di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azanuddin berkata, ISO 41001 itu terbuka kepada semua jenis organisasi yang mahu menunjukkan keberkesanan dan kecekapan FM, selain menyokong objektif organisasi tanpa mengira saiz serta sektor termasuk organisasi dalaman serta syarikat pengurusan fasiliti profesional.

“Antara faedah pelaksanaan sistem pengurusan ini adalah peningkatan keselamatan, kesihatan dan produktiviti tenaga kerja, kecekapan serta keberkesanan dalam pengurusan fasiliti yang menjimatkan kos organisasi.

“Melalui pensijilan ini, syarikat pengurusan fasiliti profesional juga dapat membezakan syarikat mereka daripada pesaing dengan menunjukkan kepada pelanggan mereka bahawa operasi syarikat mereka adalah operasi terbaik mengikut standard,” katanya.

Terdahulu, pelancaran skim pensijilan itu disaksikan Timbalan Presiden Dua Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM), Tun Masri Abu Bakar pada seminar yang turut dihadiri 150 peserta daripada sektor awam dan swasta.

Sepanjang seminar berlangsung, MFAM berkongsi berkaitan senario semasa dan evolusi industri dalam pengurusan fasiliti, manakala SIRIM QAS International memfokuskan kepada keperluan standard.


Pengarang :