Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penumpang diminta tiba empat jam awal di KLIA, klia2

SEPANG, 29 OGOS: Malaysia Airports hari ini menasihatkan orang ramai untuk sampai empat jam lebih awal daripada masa pelepasan dan mendaftar masuk secara dalam talian, kerana pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijangka lebih ramai dari biasa dari Jumaat-Isnin (30 Ogos-2 September) ekoran musim cuti yang panjang.

“Kami menjangkakan secara purata pergerakan 160,000 penumpang sehari di KLIA, di sepanjang tempoh ini,” kata Malaysia Airports dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, ketibaan awal adalah sebagai persediaan kepada operator lapangan terbang itu menghadapi tempoh puncak tersebut.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Awal Muharam pada 1 September.

Malaysia Airports berkata, 1,000 kakitangan sukarelawan yang telah digerakkan ketika berlaku gangguan sistem rangkaian di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos lalu, akan terus dikekalkan di sepanjang tempoh waktu perjalanan puncak tersebut.

“Kami kekal komited dalam memastikan perjalanan penumpang yang selesa,” katanya.

Malaysia Airports juga menasihatkan penumpang untuk mengambil maklum mengenai penutupan ruang udara harian di KLIA antara jam 9 pagi hingga ke 10.30 pagi dari 27 hingga 31 Ogos, bagi memberikan laluan kepada latihan dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Penumpang perlu memeriksa jadual penerbangan terkini daripada pengendali penerbangan masing-masing,” dan menambah kira-kira 85 penerbangan dijangkakan akan terganggu akibat daripada penutupan ruang udara tersebut.

Malaysia Airports berkata, pasukan yang bertanggungjawab menjaga faksiliti terminal KLIA dan klia2 telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan antara lain pengurusan trafik, tempat letak kereta, kebersihan bilik air dan operasi Aerotrain berfungsi dengan baik di sepanjang waktu tersebut.

“Pemandu menghala ke KLIA diingatkan untuk mengikut peraturan berhenti dua minit bagi mengambil dan menurunkan penumpang di tepi jalan, bagi mengelakkan kesesakan trafik,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :