Keadaan deretan kedai yang dibakar penunjuk perasaan di bandar Jayapura pada 29 Ogos 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Penunjuk perasaan bakar bangunan kerajaan di Papua

JAKARTA, 30 OGOS: Ketegangan kembali tercetus di wilayah Papua selepas penunjuk perasaan bertindak membakar sebuah bangunan kerajaan dan memusnahkan beberapa premis perniagaan.

Menurut AFP, beratus-ratus penunjuk perasaan berarak  di bandar Jayapura. Mereka membakar sebuah bangunan dewan selain membaling batu ke arah kedai dan hotel.

Insiden itu berlaku sehari selepas keganasan tercetus di Deiyai.

Pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Indonesia mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang askar dan dua penunjuk perasaan meninggal dunia.

Sementara itu, menurut berita ANTARA, Presiden Indonesia, Joko Widowo mengarahkan pasukan tentera untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang di Papua.

Beliau kemudian menasihat semua penduduk di wilayah tersebut agar bertenang.

“Saya terus mengikuti dan saya juga sudah mendapatkan laporan situasi terkini di Papua khususnya keadaan di Jayapura,” katanya sebelum menyaksikan persembahan wayang kulit di Alun alun Purworejo, Jawa Tengah, malam Khamis.


Pengarang :