AGENDANASIONAL

Penyelesaian komprehensif tangani krisis Rohingya

BANGKOK, 1 OGOS: Menteri luar ASEAN mengulangi sokongan berterusan atas komitmen Myanmar untuk memastikan keselamatan semua komuniti di Rakhine, Myanmar dengan sebaik mungkin dan memudahkan kepulangan secara sukarela etnik Rohingya secara selamat, dilindungi dan bermaruah.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-52 di sini, 10 menteri luar ASEAN berharap untuk meneruskan dialog berkesan antara Myanmar dan Bangladesh bagi memudahkan proses penghantaran pulang etnik itu ke Rakhine.

“Kami menggalakkan Myanmar untuk terus melaksanakan syor cadangan laporan akhir Suruhanjaya Penasihat mengenai Rakhine,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat itu, menteri luar diberi taklimat oleh Myanmar mengenai situasi kemanusiaan di Rakhine.

Menteri ASEAN juga menggesa penyelesaian komprehensif dan berpanjangan untuk menangani punca utama krisis Rohingya dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membina semula kehidupan mereka.

Menteri juga menjangkakan Suruhanjaya Siasatan Bebas yang ditubuhkan Myanmar akan melaksanakan akauntabiliti dengan menjalankan penyiasatan secara bebas dan adil terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan isu berkaitan.

Menteri Luar juga mengesahkan sokongan berterusan ASEAN untuk usaha Myanmar mewujudkan keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang, untuk mempromosikan keharmonian dan perdamaian antara pelbagai masyarakat serta memastikan pembangunan yang mampan dan saksama di wilayah Rakhine.

“Kami mengesahkan sokongan kami untuk peranan ASEAN yang lebih nyata dan meningkatkan peranan ASEAN untuk menyokong Myanmar dalam menyediakan bantuan kemanusiaan, memudahkan proses penghantaran balik dan mempromosikan pembangunan mampan,” katanya.

Misi peringkat tinggi yang diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, bersama-sama wakil Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelasaran Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) melakukan tinjauan ke Cox’s Bazar, Bangladesh dari 27 hingga 29 Julai untuk berkongsi maklumat mengenai persiapan yang dibuat kerajaan Myanmar bagi pelarian yang bakal pulang.

“Kami mengharapkan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif pada selang masa yang sesuai.

“Kami menekankan pentingnya keutamaan perkhidmatan asas yang akan mendapat sokongan dan manfaat hasil kerjasama dengan Rakan Dialong ASEAN.

Menurut Amnesty International, lebih daripada 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, telah meninggalkan Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap masyarakat minoriti Islam pada Ogos 2017, menyebabkan peningkatan mangsa penindasan di Bangladesh melebihi 1.2 juta.

-BERNAMA


Pengarang :