BERITA UTAMA

Perang dagang AS-China peluang terbaik tarik pelabur

SHAH ALAM, 28 OGOS: Malaysia perlu mengambil peluang daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menarik kedatangan pelabur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus rancak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hubungan perdagangan yang baik dengan dua negara itu pastinya memberikan kelebihan jika Malaysia mampu mengemukakan tawaran terbaik kepada pelabur.

“Jika kita dapat menenawarkan tawaran menarik kepada pelabur, kita akan dapat ambil peluang itu.

“Malaysia tidak pernah bermasalah dengan AS dan China, justeru Malaysia perlu mengambil peluang menjadi ‘rumah’ kepada industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara rancangan Agenda Awani: Lonjakan Kemakmuran Ekonomi Selangor yang disiarkan Astro Awani, semalam.

Amirudin berkata, lambakan taman industri sedia ada di Malaysia sambil disokong tenaga manusia mencukupi pastinya mampu mendorong perkembangan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Katanya, corak pemerintahan berintegriti seperti ditekankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di semua peringkat juga mampu memberikan lebih keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Malaysia.

“Kita ada hampir 200 taman industri dengan menekankan industri berteknologi tinggi, 3.4 juta tenaga kerja dan lebih 100 universiti. Kita mempunyai sumber manusia yang cukup.

“Jika (Malaysia) dapat ambil peluang sedia ada dan mengetengahkan peluang yang kita ada di samping mempamerkan pentadbiran yang baik, saya rasa ia akan menjadi elemen baik untuk menarik pelabur,” katanya.

Amirudin memaklumkan beliau bersama deligasi Invest Selangor akan ke China bermula 1 September hadapan bagi melihat potensi baharu yang boleh diterokai Selangor.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan pelaburan terbaik dalam tempoh 30 tahun dengan jumlah RM18.94 bilion bagi sektor perkilangan daripada jumlah keseluruhan RM24.8 bilion untuk tahun 2018.


Pengarang :